Tabiat Internet Korang.

Apa itu tabiat? Berdasarkan pemahaman aku, tabiat ialah suatu perbuatan yang selalu dilakukan atau dibuat terhasil daripada  aktiviti harian seseorang individu atau satu kelompok masyarakat sama ada ia merupakan sesuatu tindakan yang positif atau bersifat negatif bergantung kepada perspektif pemerhati yang melihat dan menafsirkannya. Jadi bagaimana pula dengan tabiat Internet pulak? Tabiat Internet pula ialah suatu perbuatan yang kerap dilakukan oleh seseorang individu dalam menjalani aktiviti berInternet sama ada ia bertujuan untuk sesuatu perkara yang bersifat serius atau sekadar hiburan untuk meningkatkan perhubungan sosial secara maya. Seterusnya aku ingin bertanya iaitu apa tabiat korang apabila dah mula berada atas talian (online)? Ha. Aku pasti persoalan mudah itu tidak akan menjadi masalah kepada korang untuk menjawabnya. Ada yang mungkin akan menjawab berbual (chatting), menonton video menerusi laman aliran video (video streaming), menjawab kemaskini status (status updates), menulis blog dan menjawab maklum balas komen serta pelbagai lagi aktiviti yang menarik di alam maya ini. Tidak ketinggalan kepada keinginan melayan nafsu serakah menerusi forum2 dan blog2 yang berelemenkan seksual dan menonton video2 pornografi dengan satu capaian yang mudah. Itulah yang dikatakan ada tabiat yang bersifat positif atau negatif seperti telah dinyatakan diawalnya. Oleh itu, pelbagai jenama laman web terkenal yang muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan berikutan daripada ledakan trend Web 2.0 telah menjadi platform kepada korang dalam melunaskan aktiviti2 berInternet dan seterusnya menjadi satu tabiat. Apa tabiat aku apabila dah mula beronline ni? Pertama, mesti log masuk (log in) ke dalam Facebook sebab nak tengok status updates kawan2 yang terkini, komen kepada status update sendiri dan buat status yang terbaru. Dah puas hati, barulah melayan games yang ada dalam Facebook aku ni. Semestinya Mafia Wars tidak diabaikan. Tak nak ranking jatuh katakan. Kedua, log masuk pulak ke dalam Google Reader untuk membaca kemasukan2 terkini blog2 yang aku telah langgan (subscribe). Ketiga, mesti masuk ke Google News sebab nak baca berita2 terkini di seluruh dunia terutama berita2 seksyen Science & Technology. Keempat, log masuk ke dalam WordPress untuk kemaskini blog kesayangan supaya sentiasa terkini dan membalas komen. Kelima, kalau semua itu dah beres barulah aku melayan Twitter ke, Youtube ke, chatting ke, tengok emel ke. Keenam, melayan laman2 web yang sepatutnya. Wah! Banyak betul aktiviti aku ni. Adakah aku telah mengalami ketagihan Internet?


Nik Aziz Doakan Najib Tun Razak.

Di bawah ini adalah sedikit sedutan daripada doa (dalam bahasa Arab) Tok Guru Nik Aziz untuk Najib Tun Razak dalam satu majlis:

Antara terjemahan doa dari petikan status Facebook seorang kawan:

“Ya Allah, Ya Tuhanku, kalauMu tengok dua orang ni (Najib & Zahid) ada bakat menjadi baik, bukalah pintu hati dia untuk Islam dan Iman, kalau tak ada bakat dah jadi baik, kacau sokmo, turunkanlah bala supaya orang lain gerun nak tiru dia” Kemudian Tok Guru berdoa dalam bahasa Arab dengan menyebut nama Najib dan Zahid.

Sekarang ini heboh dalam media arus perdana seantero negara perihal doa Tok Guru Nik Aziz untuk Najib Tun Razak. Entah macam mana aku boleh terjumpe sedutan video ini. Aku hanya nak kongsikan sajork. Terpulanglah kepada penilaian korang berdasarkan perspektif masing-masing. Benar ataupun fitnah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.


Roda Kehidupan.

Memang betul bak kata perumpamaan Melayu yang terkenal ini iaitu ‘hidup ini bagaikan satu pusingan roda, dulu kita duduk di bawah, dan kini kita berdiri di atas’. Lebih kurang gitulah maksudnya. Berikut adalah beberapa perubahan situasi yang telah berlaku di sepanjang hidup aku:

  1. Dulu aku belajar daripada ramai guru, kini aku sudah menjadi pengajar kepada ramai pelajar.
  2. Dulu aku selalu gagal dalam keputusan Matematik Tambahan, kini aku pula mengajar Matematik Tambahan yang selalu pelajar gagal itu.
  3. Dulu aku bertungkus-lumus belajar untuk menghadapi SPM, kini aku pula menjaga SPM sebagai pengawas peperiksaan.
  4. Dulu badan aku ‘sedang2′ sahaja, kini semakin bertambah ‘kecomelannya’.
  5. Dulu aku selalu mengharapkan bantuan kewangan daripada bank Pa & Ma, kini aku sudah memiliki sumber kewangan hasil daripada titik peluh mendidik anak bangsa.
  6. Dulu kalau aku nak ke mana2 terpaksa mengharapkan kaki dua kerat ini, kini kalau aku nak ke mana2 hanya mengharapkan empat roda berkuasa enjin 1600 cc.

Kadang2 aku ada juga terkenangkan banyak lagi perkara suka dan duka yang pernah aku alami dalam kehidupan ini. Namun, per2 pun aku cukup bersyukur dengan kehidupan yang dilalui sekarang. Aman, bahagia, bebas dan senang hati. Tetapi, aku masih mengakui bahawa pelbagai lagi ranjau dan duri yang perlu ditempuhi dalam menghadapi dugaan di masa2 mendatang yang susah untuk diduga.


Sekolah Satu Aliran.

Minggu ini, kita telah diwar2kan dengan satu cadangan awal yang aku kira amat baik untuk dilaksanakan di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum kerana ia dapat mengeratkan lagi perpaduan yang terjalin sekian lama . Banyak artikel dan ruangan berita dari media arus perdana turut menyiarkannya dan diperbincangkan sebagai satu wadah yang dapat dijadikan perhatian serius. Satu sistem sekolah baru iaitu sistem sekolah satu aliran di sekolah menengah (mungkin terhasil daripada konsep 1Malaysia) dicadangkan untuk diperkenalkan dan seterusnya dilaksanakan di semua sekolah di seluruh Malaysia. Malahan ia turut mendapat sokongan daripada kedua2 belah pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. Namun, terdapat juga segelintir pihak terutamanya pemimpin dari MCA dan MIC tidak menyokong cadangan sekolah satu aliran dengan alasan terdapat banyak cara lain untuk memupuk perpaduan. Malah mereka juga bimbang identiti bangsa masing2 akan lupus dengan pelaksanaan cadangan ini.

Ulasan aku:

Alasan yang mengatakan  hilang identiti bangsa merupakan satu alasan yang klise bagi aku. Sejak dari dulu lagi. Bak pepatah Melayu, kalau nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sebenarnya aku akan lebih menyokong sekiranya dilaksanakan dari sekolah rendah lagi, bukannya di sekolah menengah yang boleh dikatakan agak lewat. Masih ingat lagikah pada konsep Sekolah Wawasan yang pernah diutarakan pada zaman Tun Dr. Mahathir masih menjadi PM? Pun tidak menjadi juga. Sebenarnya konsep sekolah satu aliran ini bukanlah nak me’Melayu’kan segala bangsa yang ada di muka bumi Malaysia. Tetapi nak memupuk perpaduan di kalangan pelbagai kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi utama untuk memupuk persefahaman. Janganlah salah faham bahawa sekolah kebangsaan itu sekolah Melayu sebaliknya sekolah itu untuk semua kaum. Kalau tidak dilaksanakan sekarang, bila lagi? Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Takkan masih nak mengamalkan konsep pendidikan British (pecah dan perintah) yang lapuk itu. Sebenarnya kesan pengasingan pendidikan ini telah dapat dilihat sekarang seperti di sekolah aku. Adalah amat mengejutkan apabila ada sebahagian daripada pelajar bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa kebangsaan. Jadi apabila mereka tidak fasih berbahasa kebangsaan, bagaimana mereka nak berkomunikasi dengan orang lain dalam menyampaikan kehendak mereka yang kadangkala boleh menimbulkan salah faham di kalangan kaum lain. Jangan terlalu takut identiti bahasa mereka hilang. Kan KPM sudah mewujudkan pilihan subjek bahasa elektif seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan lain2 lagi di peringkat UPSR, PMR dan SPM. Suruhlah anak2 mereka ambil dan daftar subjek itu kalau bimbang sangat identiti bahasa hilang. Cuba kita lihat rakan2 kita di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di negeri2 tersebut, orang Cina dan orang India adalah golongan yang sangat minoriti. Tetapi persoalannya adakah identiti bahasa golongan itu hilang? Tidak sama sekali. Aku ambil contoh seorang kawan Cina Kelantan yang mengajar sama sekolah dengan aku. Aku lihat dia masih lagi boleh berbahasa Cina dengan baik apabila bersama guru2 Cina dan anak2 pelajar Cina lain. Malahan sampai ke tahap berkawan baik dengan seorang guru Melayu. Kalau ke mana2, dua orang tu je lah. Inilah hasil integrasi sekolah kebangsaan di negeri2 yang aku nyatakan. Dan aku pun selesa berkawan dengan dia sebab saling memahami antara satu sama lain walaupun tidak sebangsa. Kalaulah cadangan ini dapat direalisasikan, contoh terbaik yang aku telah nyatakan tadi bakal terjadi pada masa akan datang di negara kita.


Sebuah Objek Menyerupai Meteorit Menghentam Bumi Latvia.

Dalam hampir semalaman aku tidak membuka internet, rupa2nya dunia kita sedang heboh dengan sebiji meteorit telah menghentam bumi Latvia. Oleh itu, aku mengambil kesempatan nak berkongsi sedikit mengenai peristiwa menarik ini. Menurut laporan akhbar2 web seluruh dunia, meteorit itu telah jatuh di sebuah ladang di Mazsalaca, Latvia. Akibat daripada hentaman itu, ia telah menghasilkan sebuah kawah yang berukuran 27 kaki (9 meter) lebar dan berkedalaman sembilan kaki (tiga meter). Jadi, boleh tahan besar jugalah impak hentaman itu. Terdapat laporan juga yang mengatakan bahawa peristiwa itu merupakan satu kepalsuan berdasarkan beberapa keadaan di tempat yang dikatakan terkena hentaman meteorit itu. Kini untuk memastikan kesahihan dakwaan peristiwa ini, ahli2 saintis telah turun ke tempat kejadian dengan mengambil sampel yang dikatakan meteorit itu. Walaubagaimanapun, bagi aku ini merupakan satu peristiwa yang menarik untuk diikuti dan dijadikan pedoman bagi makhluk sekalian alam. Bagi mengikuti laporan2 akhbar web itu, korang boleh klik di sini. Terdapat juga satu video yang berjaya dirakam sejurus selepas hentaman itu kini berlingkaran di alam maya mengenai peristiwa ini. Walaupun ia bukan video yang terbaik setakat ini, namun ia bolehlah dijadikan pertimbangan kepada pengetahuan korang.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.